Dengan kenaikan kes kematian COVID baru-baru ini, kesedaran terhadap kepentingan perancangan pusaka makin meningkat. Makin ramai yang risau akan risiko dijangkiti wabak yang telahpun membunuh lebih 2500 rakyat Malaysia ini. Sekiranya tidak sempat buat perancangan pusaka, sudah pasti waris akan menghadapi proses pentadbiran yang rumit. Jadi, apakah instrumen yang sesuai dan terbaik dalam perancangan pusaka?Ramai di antara umat islam yang tertanya-tanya apakah beza antara wasiat dan hibah.
Jom kita fahamkan apa itu wasiat, apa itu HIBAH dan apa perbezaan antara wasiat dan HIBAH!
Apakah itu Wasiat ?
Wasiat adalah hasrat pemberian oleh seseorang, sama ada benda, hutang atau manfaat yang dimilikinya kepada penerima wasiat selepas kematian pewasiat. Dokumen wasiat cuma akan berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Oleh itu, wasiat boleh dipinda seberapa kali oleh pewasiat semasa hayatnya.
Manakala tafsiran “wasiat” menurut Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999:
- “WASIAT” ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati”.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W
Dan dalam hadis lain Rasulullah SAW menyatakan lagi:
“Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampun.” -Riwayat Ibnu Majah-
“bukanlah seorang muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan, untuk tidur dua malam kecual wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya.” -Sahih Al-Bukhori-
“orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat” -Riwayat Ibnu Majah-
Apakah itu HIBAH?
Hibah adalah pemberian yang diberikan oleh Penghibah kepada penerima secara PERCUMA tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Harta diberi oleh pemilik semasa hidup dan pemindahan milik berlaku selepas kematian pember (pemilik).
RUKUN- RUKUN HIBAH :
- Aqad (Ijab dan Qabul)
- Pemberi
- Penerima
- Harta HIbah
ANTARA WASIAT DAN HIBAH …
Wasiat dan HIBAH adalah antara instrumen yang penting dalam perancangan kewangan Islam. Kedua-dua dokumen ini mempunyai kepentingan dan fungsi masing-masing yang berkait rapat. Untuk perancangan pusaka yang komprehensif dan lengkap, seringkali, kedua-dua dokumen digunakan bagi menyelesaikan masalah.
Perbezaan antara dokumen Wasiat dan Hibah boleh difahami dari beberapa aspek:
1. FUNGSI WASIAT DAN FUNGSI HIBAH
Dokumen wasiat adalah kunci dalam pentadbiran pusaka. Ia bukan setakat untuk menyelesaikan pembahagian, tetapi mempunyai fungsi-fungis lain termasuklah perlantikan wasi (pentadbir), menyelesaikan hutang (hutang dunia dan hutang akhirat), pembahagian harta yang tersedia ada dan Harta Baki serta tinggalkan pesanan.
- Contoh, jika pewasiat ada 5 orang anak, siapakah antara 5 orang anak ini yang ingin beliau lantik sebagai wasi untuk penguruskan pusaka beliau? Dalam dokumen wasiat lah perlantikan dibuat secara rasmi untuk menjimat masa sewaktu pentadbiran dan mengelakkan persengketaan antara waris.
Manakala dokumen HIBAH pula, harta yang dihibahkan tidak termasuk dalam faraid. Maknanya, harta yang telah dihibahkan tidak boleh dituntut oleh waris faraid. HIBAH memberi “alternatif” kepada pewasiat jika beliau ada hasrat dan keperluan yang spesifik dalam membahagikan harta-harta beliau.
- Contoh, seorang ayah yang mempunyai 3 orang anak kandung and seorang anak angkat. Hasrat ayah adalah untuk memberi sebuah rumah kepada anak angkat yang masih tinggal bersama dia dan masih menjaga kebajikan ayah tersebut. Manakala ketiga-tiga anak kandung sudahpun stabil dalam kerjaya mereka, ada rumah mereka sendiri dan tidak memerlukan rumah tersebut. Memandangkan situasi di mana anak angkat ini lebih memerlukan rumah tersebut dan anak angkat bukan waris faraid ayah, jadi, ayah boleh menyediakan dokumen Hibah untuk hibahkan rumah tersebut kepada anak angkat tersebut.
2. PENERIMA
Bagi dokumen wasiat, hasrat pewasiat untuk memberi harta lebih dari 1/3 kepada yang bukan waris boleh dijalankan jika dipersetujui oleh waris-waris Faraid. Manakala bagi dokumen HIBAH, pembahagian boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, sama ada waris, bukan waris, Muslim atau Non Muslim tanpa persetujuan waris Faraid.
3. BAHAGIAN YANG BOLEH DIBERI
Bagi dokumen wasiat, hasrat pewasiat untuk memberi harta lebih dari 1/3 kepada yang bukan waris boleh dijalankan jika dipersetujui oleh waris-waris Faraid. Sekiranya ada antara waris Faraid yang tidak setuju dengan hasrat pewasiat, maka, mereka berhak mendapat bahagian mereka mengikut Hukum Faraid. Bagi dokumen HIBAH pula, bahagian yang ingin diberikan tidak terhad kepada bahagian yang ditetapkan dalam hukum Faraid.
4. PERSETUJUAN
Tandatangani dokumen wasiat tidak memerlukan persetujuan atau kehadiran waris faraid dan penerima (benefisiari). Manakala sesi tandatangan dokumen HIBAH memerlukan kehadiran dan tandatangan penerima HIBAH untuk memenuhi syarat Ijab dan Qabul dalam HIBAH.
5. HUKUM
Jika diikutkan pada Mazhab Sunni, wasiat tidak diwajibkan dan juga tidak difardukan untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat yang tidak menjadi waris. Akan tetapi, hukumnya bergantung kepada keadaan-keadaan tertentu :
- Wasiat adalah Wajib – sekiranya ada tanggungjawab Syarie yang perlu dilaksanakan. Contoh : Zakat, Haji dan hutang-hutang lain yang pewasiat bimbang tiada waris yang akan tolong selesaikan.
- Wasiat adalah Sunat – sekiranya pewasiat ingin berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlykan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka . Sama sekali jika diwasiatkan kepada orang miskin atas tujuan kebajikan.
- Wasiat adalah Harus – sekiranya berwasiat kepada sahabat handai atau mereka-mereka yang bukan dari golongan berilmu.
- Wasiat adalah Makruh – sekiranya pewasiat kurang berada dan mempunyai waris yang ramai dan memerlukan harta.
- Wasiat adalah Haram – sekiranya harta yang ingin diwasiatkan haram.
Sementara itu, HIBAH adalah satu amalan yang sunat dan digalakkan dalam agama Islam, khususnya bagi kaum kerabat keluarga terdekat. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan HIBAH :
6. PINDAH MILIK
Pindah milik harta dalam wasiat akan berlaku selepas kematian pewasiat. Manakala pindah milik harta dalam dokumen HIBAH boleh berlaku sewaktu pewasiat masih hidup.
7. PEMBATALAN WASIAT DAN HIBAH
Dokumen wasiat boleh dipinda selagi pewasiat masih hidup dan berada dalam keadaan waras. Bilangan pindaan boleh dibuat tanpa had. Bagi dokumen HIBAH pula, pindaan boleh dibuat tanpa persetujuan penerima HIBAH jika penerima HIBAH adalah anak (bapa dan mak sebagai pemberi) atau cucu (datuk dan nenek sebagai pemberi).
KESIMPULAN
Kedua-dua dokumen Wasiat dan HIBAH mempunyai fungsi tersendiri. Gabungan kedua-dua dokumen ini dalam perancangan pusaka dapat memberi penyelesaian yang sempurna.
Untuk maklumat lanjut, klik INFO