Bagaimana Uruskan Kenderaan yang Ditinggalkan Si Mati?

Kereta merupakan salah satu aset yang dimiliki orang ramai yang biasa disenaraikan sewaktu rancang pusaka. Soalan yang sering saya terima daripada orang ramai sewaktu rancang harta adalah “Boleh tak nak hibahkan kereta?” … “Kalau tak buat wasiat, apa kah cara tukar nama kereta kepada waris selepas pemilik kereta itu meninggal?” dan sebagainya.

Bagi anda yang tertanya-tanya bagaimana dan apa yang perlu dilakukan sekiranya ingin tukar nama pemilik kenderaan meninggal dunia, berikut adalah langkah-langkah tukar nama kenderaan selepas pemiliknya meninggal dunia (tanpa wasiat)

Sila ambil perhatian bahawa pertukaran pemilikan kenderaan perlu dibuat segera sekiranya kenderaan itu menjadi kegunaan harian pengguna sekarang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku selain membolehkan pembaharui cukai jalan dibuat dan perlindungan insuran sepenuhnya ketika menggunakan kenderaan tersebut di jalan raya. Sebagai peringan buat semua, ianya adalah menjadi satu kesalahan sekiranya cukai jalan tamat tempoh tetapi kenderaan tersebut masih digunakan diatas jalan raya.

LANGKAH 1 – Selesaikan Pembahagian Harta

  • Kenderaan pemilik yang telah meninggal dunia diambil kira sebagai harta pusaka.
  • Disebabkan itu, pembahagian harta pusaka perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pertukaran nama/hakmilik dibuat.
  • Salah satu dari dokumen berikut diperlukan untuk memulakan proses pertukaran nama/hakmilik :
    • Surat Pentadbir Pusaka
    • Surat Perintah Mahkamah
    • Surat Geran Probet (Grant of Probate)
    • Surat Akuan Amanahraya


LANGKAH 2 – Pemeriksaan Puspakom

Pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM
  • Seterusnya, dapatkan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom. Boleh semak Lokasi PUSPAKOM dan dapatkan temujanji terlebih dahulu.
  • Pada hari pemeriksaan kenderaan, bawa kenderaan bersama geran asal. Setelah selesai ujian, anda akan dapat surat keputusan pemeriksaan Puspakom.
  • Jika lulus, anda boleh teruskan dengan proses tukar nama.
  • Jika gagal, anda perlu dapatkan kepastian sebab gagal, dan hantar kenderaan ke bengkel untuk baiki dan ulang semula pemeriksaan oleh Puspakom.

LANGKAH 3 – Memohon Insurans Kenderaan atas Nama Pemilik Baru

  • Sebelum anda pergi ke JPJ untuk proses tukar nama, pastikan anda mohon insurans kenderaan dahulu atas nama pemilik baru.
  • Perlu beritahu ejen insurans kereta bahawa kereta dalam proses tukar nama.

LANGKAH 4 – Proses Tukar Nama

Anda perlu lengkapkan borang berikut dan sediakan dokumen berkaitan:

  • 2 salinan borang TM3 (Borang Senarai Semak)
  • 2 salinan borang JPJK3A (Borang Pertukaran Milikan Kenderaan)
  • Geran asal
  • Surat lulus Pemeriksaan Tukar Hakmilik (B5) PUSPAKOM
  • Salah satu dokumen berikut:
    • Surat Pentadbir Pusaka
    • Surat Perintah Mahkamah
    • Surat Geran Probet (Grant of Probate)
    • Surat Akuan Amanahraya
  • Anda dinasihatkan hadir sendiri di JPJ untuk urusan tukar nama. Jika anda ingin menggunakan wakil, anda perlu isi borang tambahan serta maklumat pengesahan identiti.

Semoga perkongsian ini dapat membantu sedikit sebanyak dan semoga dipermudahkan urusan. Bagi memudahkan urusan pusaka oleh waris waris anda, Rancanglah Harta Pusaka anda hari ini!

Leave a Comment

Open chat
Hello there!
If you need my assistance, feel free to reach out to me.